ATOK

(ANIS Jun 2004)

I
Atok termenung di beranda rumah. Sesekali dia terbatuk kecil. Asap rokok daun berkepul-kepul memenuhi ruang. Habis saja sepuntung dihisapnya, dinyalakan sepuntung lagi. Wajah atok tidak seceria dulu. Jarang sekali usikan dan gurauannya menyapa diri yang kesepian kini. Pandangan mata atok dialihkan pada sekeping bingkai gambar yang tergantung di dinding rumah. Terpampang jelas wajah atok, aku dan seorang insan yang lebih 30 tahun berkongsi suka duka bersama atok. Kini insan itu telah dijemput menemui pencipta yang agung. Walaupun berat hati atok untuk merelakan pemergiannya, tapi atok harus redha dengan takdir yang tersurat, begitu juga diri ini. Hening subuh Ramadhan Al-Mubarak nan syahdu mengiringi pemergian nenek ke alam baqa’.

Segesit semilir yang berhembus pagi itu, nyaman terasa. Aku mencapai tuala, melangkah kaki ke perigi di belakang teratak atok.

“Umar! Lepas mandi, jamah sarapan. Atok dah beli nasi lemak kat Warung Makcik Imah kamu. “

Atok bangun awal. Itu rutin hariannya. Sebelum menteri menjengah alam, atok lebih dulu menyelak tirai sang pagi. Biasanya atok akan membersihkan badan dan mengambil wudhuk, menyuci diri. Kata atok, sunnah Rasulullah yang mudah begini, perlulah selalu diamalkan. Rasulullah dan para sahabat sentiasa dalam keadaan berwudhuk. Sabda Rasulullah SAW “Umatku akan tampil pada hari kiamat dengan wajah bersinar, tangan serta kakinya berkilauan dari bekas-bekas wudhuk.”

Aku kagum dengan atok. Bibir atok sentiasa basah dengan zikir dan kalamullah. Jemari tua atok sentiasa membilang butiran tasbih. Atok tidak pernah lalai dari mengingati Ilahi. Dan atok sering mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke tanah suci sekali lagi. Kata atok, dia terlalu merindui kota itu. Kaabah seolah-olah melambai padanya, menanti kehadiran dagangan tua ini.

“Atok nak ke pekan hari ini. Ada urusan dengan Taukeh Wong yang perlu atok selesaikan. Kalau atok balik lambat, kau pergilah masjid dulu. Tak usah tunggu atok.” Atok menghela nafas panjang. Furqan dikucupnya lembut.

“Urusan apa dengan Taukeh Wong tu, atok?

Atok menjeling tajam. Dia mendengus kecil. Ayatku ternoktah. Aku diam. Aku kenal benar atok. Aku tahu, atok tidak suka aku mencampuri urusannya. Hitam padanya, hitam jualah padaku. Putih padanya, putih jualah padaku.

Aku tinggal bersama atok sedari kecil. Aku faham rencah perangainya. Aku akur kerenahnya. Atok seorang yang tegas dalam semua perkara, lebih-lebih lagi dalam soal ibadah dan aqidah. Aku dihantar belajar agama di Pondok Haji Hussein. Aku bersyukur kerana dipelihara atok dan nenek. Merekalah yang telah mendidik dan membesarkan aku hingga aku tahu tanggungjawabku dijadikan di muka bumi ini. Sebagai hamba dan khalifah. Aku dididik meniti hidup di landasanNya, menjauhi diri dari sebarang mungkar. Malah, atok yang mengazan dan menamakan aku. Umar. Muhammad Umar.

Kata atok, dia mahu aku jadi setegas , segagah dan seadil Saidina Umar Al-Khattab, khalifah Islam kedua yang berani menyatakan keislamannya di hadapan khalayak musyrikin Mekah. Mereka gentar dengan kata-kata Umar kerana mereka sedar, dengan kehadiran Umar, Islam tidak mudah diperkotak-katikkan seperti dahulu. Saidina Umar juga merupakan Amirul Mukminin yang mempunyai sifat tawaddhuk serta rendah hati dalam pergaulan hidup. Tatkala baginda menjadi khalifah Islam, banyak negeri telah jatuh ke dalam kekuasaan Islam. Ketika kota Baitulmaqdis jatuh ke tangan Islam, penduduk-penduduknya yang beragama Kristian yang diketuai oleh Paderi Besarnya enggan membuat sebarang perjanjian kecuali dengan Saidina Umar Al-Khattab sahaja.

II
Walaupun atok mempunyai tiga orang cahaya mata, tetapi akulah permata hatinya. Aku merasai kasih seorang ayah daripada bicara indah atok. Aku merasai sayang seorang ibu daripada usap belai nenek.

Anak sulung atok, maklong Asma’ telah berkahwin dengan jejaka pilihannya, paklong, Dato’ Radzi. Seorang tokoh korporat yang terkenal. Mempunyai syarikat eksport dan import yang menyumbangkan keuntungan bepuluh ribu bahkan berjuta Ringgit Malaysia. Mereka dikurniakan empat orang puteri. Malangnya sudah lama mereka tidak pulang menjenguk atok. Memetik kata-kata maklong, mereka sibuk dengan urusan perniagaan. Syarikat Mega Holdings perlu merebut tender yang ditawarkan. Kalau tidak, untung terlepas, pelaburan lesap.

Kadang-kadang terfikir jua aku, manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Kemewahan duniawi yang menyaluti kehidupan, adakalanya mengaburi pandangan. Manusia kini lebih bersifat individualistik dan materialistik. Nilai kekeluargaan yang disemai, dipinggir dan kian terkubur ditelan pembangunan yang kian rancak. Pembangunan rohani? Ah! Semakin dilupakan.

Ayah merupakan permata kedua atok. Kehadiranku di sisi atok sesekali menjadi pengubat rindu atok pada ayah. Ada juga ayah menelefon dan mengirim wang pada atok untuk perbelanjaan harian. Tapi aku tahu atok tidak mahu malah tidak pernah meminta semua itu. Wang ringgit boleh dicari. Tapi kasih dan sayang…tidak terbeli. Ayah dan Mama Laura kini menetap di Wales. Ayah bekerja di sana setelah berkahwin dengan Mama Laura, lima tahun selepas pemergian ummi menemui Ilahi. Aku tidak pernah membantah keputusan ayah. Aku tahu, sebagai seorang lelaki, ayah perlukan seseorang untuk berkongsi suka duka dengannya, menguruskan hidup sehariannya. Tetapi sesekali wajah ummi menerobos minda. Menjerat hati dengan rindu yang mendalam. Ummi pergi ketika hendak melahirkan adikku. Berjuang antara hidup dan mati. Mungkin aku ditakdirkan untuk hidup seorang diri, bersama atok dan nenek.

Paksu Syafiq merupakan anak bongsu atok dan nenek. Entah di mana silapnya, paksu terheret ke kancah hina. Kini sudah dua tahun paksu menjalani rawatan di pusat pemulihan dadah. Atok benar-benar sedih dan terkilan. Jauh di sudut hatinya, atok menyalahkan diri sendiri kerana gagal mendidik anak-anaknya dengan sempurna.

III
“Siapa yang bagi kuliah maghrib kat masjid tadi, Umar?” Atok mengaju soalan. Tangannya mencapai sudu, menyenduk kuah gulai ikan keli.
“Ustaz Syauqi, atok.”

Atok mengerut dahi. Butiran nasi dikunyahnya lumat lalu ditelan. Perlahan.
“Alah, anak Imam Haji Zakaria. Abang Aqi! Kan dulu Umar selalu ikut usrah dia. Dah jadi Syeikh Azhar pun dia sekarang. Dua bulan lagi nak dapat zaujah pula.”

Atok menguntum senyum. Kepalanya diangguk beberapa kali. Air sirap diteguknya.
Atok menyandar ke dinding beranda rumah. Santai. Aku ikut meneladani. Sesekali aku membetulkan lipat pelekat. Aku bangun menghirup hembus bayu malam. Purnama penuh malam itu memancar indah. Kejora bersinar terang. Besar sungguh kuasa Yang Esa.
“Umar dengan Balqish bagaimana?”

Aku terdiam. Terpingga. “Bagaimana apa, atok?”
Atok senyum. Dia mendengus kecil. Atok merapatkan jari telunjuk kanan dan jari telunjuk kirinya.

“Eh, atok. Ke situ pula! Entah Aqish nakkan saya, entah tidak. Entah-entah saya, dia pandang sebelah mata pun tak ingin. Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi, atok.” Aku cuba berdalih. Kulepaskan pandangan ke luar.

“Atok berkenan benar dengan Nur Balqish tu, Umar. Sopan, tutur katanya lembut, hormat pada orang tua. Solehah budaknya. Cantik macam bulan.” Atok memandang sang qamar. Bibirnya menguntum senyum. “Gadis macam tulah boleh dibuat teman hidup.” Atok mula menyuntik jarum semangat.

“Entahlah atok. Saya tak nafikan, Aqish memang baik. Tapi dia tu siswi lepasan Universiti Malaya. Manalah padan dengan saya yang tak berijazah ni. Pipit dan enggang tak boleh terbang sama , atok.” Wajah bujur sirih Nur Balqish menerpa memori. Lebih manis dengan dua lesung pipit di pipinya ketika dia tersenyum.

“Itulah! Atok suruh sambung belajar di Azhar kau tak mahu. Bukannya kau tak layak. Keputusan Sijil Tinggi Agama kau bagus!” Atok mencungkil kisah lama. Dia memandang tepat bola mataku.

“Bukan saya tak mahu, atok. Tapi kita tak mampu. Saya dah kata pada atok. Saya nak kerja dulu, kumpul duit. Lepas tu, Insya Allah saya pergi.” Aku melarikan bola mataku. Nafas kuhela panjang.

“Duitnya dah cukup, Umar.”
Mata aku dan mata atok bertentang sekali lagi. Aku terkesima. Entah mengapa, debar tiba-tiba mengepung kalbu.

“Atok dah gadaikan rantai dan gelang emas arwah nenek kau pada Taukeh Wong. Adalah duit untuk pengajian kau, Umar.” Atok tunduk.

“Atok!!” Suaraku tiba-tiba meninggi. Sebak menghenyak dada.
“Ini wasiat arwah nenek kau, Umar. Dia nak tengok kau berjaya. Jadi insan mulia. Berilmu. Berguna untuk agama, bangsa dan negara. Atok juga begitu. Kau jangan nak berdalih. Atok dah buat keputusan.” Atok bingkas bangun. Aku memerhati. Diam. Memanik jernih luruh membasahi pipi.

IV
Pagi itu, sebuah kereta Mercedez Benz memasuki perkarangan rumah. Kelihatan seorang wanita separuh umur, berkebaya moden dan berkerudung hijau memijak tangga teratak atok.

Maklong pulang tergesa-gesa hari itu. Dari jauh aku nampak maklong dan atok seperti berbincang sesuatu. Wajah atok merona merah. Aku tidak berani mencampuri musyawwarah kedua beranak itu. Hanya memerhati dari kejauhan. Tiba-tiba atok bingkas bangun. Dia masuk ke bilik. Atok keluar dan di tangannya ada sekeping sampul besar. Birai mata atok digenangi air jernih lalu luruh ketika atok menyerahkan sampul besar itu pada maklong. Maklong mencium tangan atok lalu meninggalkan teratak kami.

“Maklong kau nak jual dusun atok. Nak selamatkan syarikat dia.“ Atok menyeka memanik jernih yang membasahi pipi. Segaris sinar kecewa tergambar di wajah tenang atok. Aku terkedu. Ada pilu tertancap di kalbu.

Alunan kalam Ilahi memecah sepi malam. Atok berteleku di hamparan suci. Bertahajjud memohon petunjuk Al-Rahman. Menyerahkan bulat-bulat segala-galanya pada Yang Esa. Sedu-sedan atok meresahkan hati. Aku melangkahkan kaki ke biliknya. Salamku bersahut. Aku menggenggam erat tangan tua atok. Tubuhnya kupeluk kejap. Malam sunyi itu saksi segala-galanya.

V
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.” Salam itu kusahut. Aku mengintai dari birai jendela.

“ Oh! Aqish, Su. Jemputlah masuk. “
“Sebenarnya tujuan ana dan Suraya datang ni, nak jemput anta jadi fasilitator untuk Kem Remaja Cemerlang yang akan diadakan pada hujung bulan depan. “ Nur Balqish memula bicara. Dia memandang ke arahku.

“Kem Remaja Cemerlang?”
“Ya. Kem untuk adik-adik kita di kampung ni juga. Antara 13 hingga 17 tahun. Kami sedang mencari sahabat-sahabat yang sudi menghulurkan bantuan, bekerjasama untuk menjayakan kem ni. Program-programnya telah kami susun. Antaranya, usrah, kuliah subuh dan maghrib, sessi muhasabah, malam kesenian Islam , ceramah dan yang paling penting qiyamullail yang jarang dipraktikkan oleh remaja hari ini. Tapi mungkin dengan kehadiran lebih ramai fasilitator nanti, dapat menyumbangkan idea-idea yang lebih bernas supaya kem ini dapat menarik lebih ramai adik-adik kita untuk menyertainya. Bagaimana? Anta setuju?” Panjang lebar penerangan yang diberikan Nur Balqish. Dia menghulurkan kertas kerja padaku.

“Insya Allah. Kalau ada usaha murni begini dari anak kampung ini atau dari mana-mana pihak, masakan ana boleh menolaknya. Ana akan membantu setakat mana yang termampu. Erm, dah berapa ramai fasilitator yang ada sekarang?” Soalan kuajukan padanya sambil tanganku menyelak-nyelak kertas kerja yang diberi.

“Setakat ni Alhamdulillah dah ada enam orang. Tapi kalau boleh, kami nak genapkan sepuluh. Ustaz Syauqi dan isteri juga turut serta. “ Dia tersenyum. Suraya memandangnya.

Kem Remaja Cemerlang berjalan lancar. Mujurlah tiada sebarang gangguan walaupun pada mulanya ada suara-suara sumbang dari pihak yang iri hati dengan usaha murni yang kami jalankan. Benarlah firmanNya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 10 yang bermaksud “Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)” Ada yang berkata, kami ingin menerapkan sentimen perkauman di kalangan remaja kampung itu. Malah lebih dasyat lagi yang menuduh kami mengadakan program gerakan bawah tanah. Kami hanya mendiamkan diri. Memekakkan telinga, membutakan mata. Kem itu kami jalankan juga seperti yang dirancangkan.

Nur Balqishlah yang paling hebat menerima tekanan kerana dialah yang membuat kertas kerja kem tersebut. Tapi aku kagum dengan semangatnya. Katanya, selagi kami di pihak yang benar, kami tidak perlu gentar dengan dugaan yang datang. Cukuplah Allah sahaja sebagai pelindung sepertimana janjiNya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 107 yang bermaksud “Tidakkah engkau mengetahui sesungguhnya Allah yang menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberikan pertolongan.” Memang itu lumrah perjuangan. Perjuangan untuk menegakkan agama suci ini tidak dihampari dengan permaidani merah tetapi dihujani onak duri. Dakwah para nabi dan Rasulullah jua begitu. Mereka dicaci dan dihina sebelum akhirnya Islam diterima.

VI
Aku memeluk kejap batang tubuh ayah. Kolam mataku digenangi air jernih. Kucuba menahannya daripada tumpah, namun aku gagal. Ayah menyeka air mata yang luruh ke pipi. Telah hampir empat tahun kami tidak bertemu. Hari ini…seperti mimpi, ayah hadir di hadapanku. Aku pandang atok. Dia tersenyum. Insan yang kami kasihi, kini pulang ke pangkuan. Walaupun aku dan atok tahu kegembiraan ini hanya sedetik cuma, namun itu sudah cukup untuk kami melepas rindu yang bersarang di jiwa sekian lama.

“Saya tak setuju kalau ayah nak hantar Umar ke Mesir! Tujuan saya balik ni pun, nak ambil Umar tinggal dengan saya di Wales. Saya dah uruskan pengajiannya di sana.” Suara ayah meninggi. Sesekali dia memandang ke arahku. Aku diam.

“Aku tak benarkan kau hantar Umar belajar kat negeri orang putih tu. Aku dan mak kau nak Umar teruskan pengajiannya dalam bidang agama. Aku tak akan minta sesen pun dari kau, Zaki!” Kupandang raut wajah atok. Matanya berkaca.

“Belajar agama? Huh! Bidang tu tiada masa depan. Prospek pekerjaan sempit. Ramai graduan lepasan bidang agama yang menganggur! Kalau dapat kerja pun, sekadar jadi ustaz ustazah kampung. Ayah perlu buka mata. Negara kita sekarang ni menuju ke era modenisasi. Zaman Sains dan Teknologi. Negara memerlukan ramai teknokrat untuk membangunkan negara. Bukan ustaz ustazah yang hanya tahu mengaji Al-Quran dan menghafal Hadis!” Ayah meningkah kata atok. Atmaku pedih mendengar hujah dangkal ayah.

“Ayah…” Aku mencelah. Lembut. Aku mula menyusun bicara agar kata-kataku tidak mencuit hati kecil seorang insan yang amat kuhormati.

“Umar bukan nak bangkang kata-kata ayah. Tapi, bicara ayah tu seolah-olah ayah memperkecilkan kesucian Islam. Islam itu syumul, ayah. Menyeluruh. Memang tak dinafikan, negara amat memerlukan ramai teknokrat untuk memajukan negara. Islam juga menuntut kita mendalami bidang-bidang ini. Ianya Fardhu Kifayah. Tapi dalam masa yang sama kita juga tidak boleh lupa pada pembangunan rohani. Tengok sajalah di luar sana. Kebejatan sosial melanda remaja kita. Pengaruh budaya barat makin menular. Walaupun Malaysia telah merdeka, tapi sayang…kita masih dijajah mental, masih berperang. Perang Psikologi. Dan lepasan bidang agama inilah yang akan bangun membetulkan kembali mana yang telah pincang.

“Huh! Kau sama saja dengan atok kau. Ayah buat begini untuk masa depan kau, Umar!” Bola mata kami bertentang.

“Apakah ayah rasa, jika saya mendalami Dinul suci ini, masa depan saya gelap? Allah telah berjanji pada hambaNya, bahawa jika kita membantu agamaNya, Insya Allah Dia akan bersama kita. Saya yakin dengan janji Allah.” Air mataku tumpah. Kecewa. Kecewa dengan sikap ayah.

Atok memandangku. Hatinya terhiris, jiwanya tersiat. Raga tuanya disapa kekesalan memuncak. Kesal dengan sikap anak lelakinya yang berani berbicara seperti insan kehilangan iman.

“Saya balik ni untuk berbincang baik-baik dengan ayah. Jangan sampai saya terpaksa berkeras.” Tegar ayah masih menyala. Atok mengeleng kepalanya beberapa kali.

“Kau atau aku yang akan berkeras, Zaki! Aku yang mendidik Umar dari kecil. Aku tahu apa yang terbaik untuknya. Kalau kau masih nak menegakkan benang yang basah, mempertahankan ego kau tu, lebih baik kau keluar dari rumah aku ni!” Amarah yang meluap tidak dapat dibendung lagi. Atok bingkas bangun. Meninggalkan aku dan ayah. Ayah tunduk. Memandang sepi lantai rumah.

VII
Anak kecil itu kudukung kemas. Dia lebih banyak menyalin raut wajah umminya. Pipinya kukucup mesra. Jemari kecilnya kugenggam perlahan.

“Mana agaknya Aqish letak botol susu Widad ni ye, bang?”
“Cuba Aqish cari kat bawah sofa tu. Kadang-kadang si Widad ni bawa botol susunya ke situ.” Aku memberi cadangan. Anak kecil itu kuacah-acah. Dia ketawa.
“Ha! Ada pun.” Dia tersenyum manis menampakkan barisan giginya yang tersusun indah.
“Pukul berapa kenduri tahlil tu, bang?”

“Kalau tak ada apa-apa halangan, Insya Allah lepas Isyak nanti. Erm, Aqish dah bawa Surah-surah Yassin tu?” Bola mata kami bertemu. Dia mengangguk.

VIII
Alhamdulillah, majlis tahlil untuk arwah atok dan nenek telah disempurnakan. Hatiku berbunga syukur kerana maklong sekeluarga, ayah dan Mama Laura serta paksu Syafiq pulang ke teratak atok malam itu. Pastinya atok berbangga dengan anak-anaknya sekarang. Didikan atok dan nenek tidak salah tetapi kerana keindahan dunia yang mengaburi iman dan akal, insan kadang –kadang terlalai dan terlupa.

Hakikat itu aku akui lebih-lebih lagi setelah menamatkan pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Mesir serta setelah bergelar guru, suami dan bapa. Hidup memang banyak mehnahnya. Tanpa iman, manusia akan terumbang-ambing melayari kehidupan. Aku masih ingat pesan atok sewaktu menghantarku di lapangan terbang dulu. Jadilah seperti ikan yang tetap tawar walaupun hidup di laut masin dan jadilah seperti terumbu karang yang tetap teguh walau dipukul badai.

0 comments:

Post a Comment