TELAH DIBERINYA HATI

Tartillah selalu. Kerna dalam tadabbur Al-Furqan itu ada sakinah dan syifa’. Ketenangan dan penawar. Hikmah dan makna. Bukankah Al-Quran itu mukjizat teragung Muhammad, wahyu dari Dia Yang Haq? Lalu sembuhlah duhai hati, sudah kutemu penawar geringmu.

Aduhai hati! Jangan rencam berona rindu. Bukankah sudah bersatu bahasa hatiku dan bahasa jiwanya? Sungguh. Hatinya sudah akrab dengan hatiku. Terlalu!

Furqan itu kukucup lalu hatiku bergetar dan terus berdenyut. Tapak tanganku kuletak perlahan ke dada. Ya! Ia berdenyut memanggil namanya- Muhammad. Dalam desah nafas yang panjang malam itu, aku kepingin mencari wajahnya di balik purnama sabit. Begitu pesannya pada ibu tua itu, pinta disampaikan padaku- Andai hatimu kencang berdenyut, intai wajahku di hampar langit. Meski jasad Muhammad dan Khadijah ini terpisah, kita masih berbumbung langit yang sama, jua masih berkongsi hati. Seperti Muhammad Al-Amin yang tidak pernah melupai pengorbanan srikandi Islam Khadijah, harum mekar kasih di hati.

Dulu, tatkala sendirian begini, aku punya dirinya menyelongkar makna persahabatan. Lalu dia yang saban hari menceriakan hidupku yang dura. Menguntum senyum di bibirku yang kering dan merekah. Datang pada waktu siang dia berkongsi cerita tentang kerjaya dan perjuangannya. Datang pada waktu malam, dia berkisah tentang derita ibu tuanya. Dan tiap kali itu jua air matanya yang ditahan di empang mata, luruh dan pipinya basah. Dan sedunya itu aku memujuk. Lalu dia kembali berjenaka.

Dia doktor yang merawatku di wad yang kuhuni ini. Ya! Doktor Muhammad. Seorang doktor yang kukira amat dekat dengan pesakit-pesakitnya. Sanggup bersengkang mata dan bergegas ke wad andai ada panggilan kecemasan. Seorang doktor yang mampu berkongsi cerita dengan pesakit. Seorang doktor yang memahami jiwa kami. Terlalu! Dia seperti lilin yang membakar diri. Sanggup berkorban demi insan lain- yang tiada pertalian sahabat, jauh sekali hubungan keluarga. Sungguh! Mulia benar kerjayanya. Lalu sering dia berkata padaku :

Kupunya ilmu yang diizinkan Allah untuk memilikinya. Lalu wajib aku menggunakan ilmu ini demi kebajikan insan lain.

Dan saban hari itu jualah, dia semakin mengenali sikap degil dan egoku. Begitu jua aku- yang mendasari sifatnya yang tak lokek ilmu dan bantuan. Lalu kami berkongsi ceritera hidup. Sering, dia ralit berkisah tentang ibu tuanya yang menderita. Ya! Derita seperti aku. Namun deritaku hanya kerna punya penyakit hati lalu terlantar di wad ini hampir setahun.

Meski banyak yang hitam, memori lalu bisa menjadi penyuluh perjalanan hidupku di masa depan. Begitu kata Muhammad padaku. Tapi bagaimana? Aku bertanya dia. Lalu aku pesona mendengar bicaranya- Seperti orang buta yang tidak bisa memandang dunia dengan mata zahir tetapi bisa menikmati keindahan ciptaan Tuhan dengan mata hati dan mata akal. Begitu jua kenangan yang meski hitam dan gelap, bisa jadi penyuluh- jadi pedoman!

Lalu air mataku jatuh. Sebabak-babak kenangan menerpa ke dimensi ingatan. Ya! Aku anak yang liar suatu ketika dahulu. Rencam akhlak, tegar dengan maksiat dan kehinaan. Tandus kasih sayang. Sebu dengan kekayaan. Lalu kala saat gering seperti ini, aku menilai semula perihal hidupku yang lampau. Dan setiap detik waktu itu jualah air mataku begitu murah mengalir. Aku yang tidak pernah menangisi dosaku, saat ini sudah terlalu takut dengan noda. Makin mengakrabi Tuhan- Dan aku belajar semua ini daripadanya.

Saat kali pertama Muhammad menghulur salam kenal padaku- aku jadi malu. Dia memang Muhammad yang terpuji tapi aku bukan Khadijah yang mulia. Jauh! Lalu air mataku semakin laju menitis saat mengingati aku mawar yang sudah rontok dek kumbang- yang sudah sirna wanginya. Aku tidak memilih sahabat. Begitu katanya. Lalu detik itu, kami terus berkongsi kelaring luka masing-masing dan dia tidak jemu-jemu merawatku.

Kala aku dibenarkan keluar wad untuk 1 minggu, Muhammad membawaku pulang menemui ibu tuanya yang derita itu. Katanya bayu desa baik untuk kesihatanku. Papa dan mama mengizinkan malah kulihat wajah mereka semakin jernih melihat perubahanku. Dari seorang anak yang agresif metah, menjadi gadis santun yang menghormati mereka. Sungguh! Ini hikmah ujian-Mu Tuhan. Dan Muhammad ini Kau kirim sebagai penunjuk jalanku.

Singgah di tanah kelahiran Muhammad, aku jadi terpana. Dingin pawana kampung meresap ke sumsum. Bersih dan wangi. Gumpalan awan bak ropol-ropol kapas putih, indah dan cantik. Kala gerimis, pelangi tujuh warna muncul. Dan desis bisikan Muhammad masih kuingat- Begitu pelangi, terlalu sukar melihat kehadirannya- munculnya tidak selalu, hadir kala gerimis di panas hari cuma. Begitupun wanita solehah, sukar benar ditemui di zaman dasawarsa baru ini. Lalu aku memandangnya penuh makna.

Terkesip aku memijak tanah selut di tengah bendang. Merasai sejuk lintah merayap di kaki, aku menjerit. Dan Muhammad ketawa. Lintah jantan katanya. Menarikan layang-layang di hamparan langit biru, begitu mengasyikkan. Dan setiap kali itu jualah, Muhammad berbisik ke telingaku. Hidup umpama layang-layang. Dan kita adalah pemain layang-layang itu. Pegang talinya erat-erat. Bimbang, terputus tali, hilang arah tujuan- akan melayang entah ke mana. Dan air mataku mula bergenang.

Lalu aku semakin sedar, hutan konkrit yang aku huni tidak secantik rumput dan bunga kertas yang tumbuh di laman teratak Muhammad. Malah mentari di sini lebih cantik dan terang sinarnya. Dan aku mula menyesali kehidupanku yang kaku dan pejal. Aku terkurung dek waktu yang bisu- yang tidak pernah bercerita perihal keindahan suasana desa yang begitu mempesona. Mengintai ikan-ikan kecil di kali, aku teringat ikan emas dalam akuarium besar di banglo putihku. Ah! Betapa ikan emasku rindu berenang di air yang bebas mengalir seperti ini. Lalu Muhammad memujukku- mengajak aku mengail di sungai di hujung kampung. Aku menjerit kala seekor ikan haruan termakan umpan. Dan tengah hari itu aku, Muhammad dan ibu tuanya menikmati makan tengah hari yang enak. Sederhana tapi penuh erti. Lantas perlahan-lahan rasa rindu pada hubungan ibu-anak, ayah-anak meresap ke nubariku.

Ibu tua itu sering merenungku penuh kasih. Dia menyelimutiku saat bayu menyapa jendela teratak kayu itu, mendinginkan tubuhku kala aku kehangatan. Lalu aku senang mengurut dadanya saat dia sesak nafas. Jua aku gembira memicit tangan dan kaki tuanya dengan minyak angin yang dihulur Muhammad. Ibu tua itu tabah. Dari tubir matanya yang semakin kuyu dan lemah, aku nampak hidupnya penuh dengan cerita- manis dan pahit. Bapa Muhammad meninggal dipagut ular ketika menyulam padi di tengah terik mentari segalah di kepala. Muhammad masih kecil kala itu- 9 tahun. Dia hanya punya saudara perempuan- seorang kakak yang kini sudah bergelar pensyarah. Lalu ibu tua itulah yang membesarkan dua beradik itu dengan mencari rezeki menjual kuih hingga Muhammad berjaya menjadi doktor dan kakaknya menyandang jawatan penolong profesor.
Tidak pula seperti aku yang hidup penuh mewah namun berteman bayang-bayang sendiri. Aku tidak pernah rasa beruntung hidup dalam dunia penuh wang ringgit. Kerna bagiku harta kekayaan tidak mampu membeli kasih sayang dan kebahagiaan. Dia beruntung. Punya ibu pada mata zahir dan batin. Aku? Pada zahirnya punya ibu dan ayah namun hakikatnya aku tidak punya siapa-siapa. Dan aku membesar bersama secarik kenangan begitu. Bukan sepertinya yang kukuh peribadi dan salasilah. Punya ibu yang memahami dan mengasihi. Punya kakak yang bisa dihormati dan disanjungi.

Lalu saat Muhammad pulang sebentar ke kota, menemui pesakit-pesakitnya, ibu tua itu mula berkisah padaku. Muhammad mahu ke lembah Tigris Euphrates. Aku terkejut! Lalu mata ibu tua itu mula berkaca. Sekali lagi, seperti dulu dia pernah tinggalkan ibu lalu menjadi doktor sukarela, menyertai misi keamanan ke Bosnia dan Al-Quds. Aku terkesima. Terlalu!

Dan kala sekerdip embun menyapa dedaun gontai di suatu pagi nan salju, Muhammad berwajah jernih itu mula berkisah perihal perjuangannya.

Sejak tamat universiti dalam ijazah kedoktoran, aku sering mengikuti anggota sukarelawan membantu mangsa-mangsa perang dan kebuluran. Aku pernah ke Bosnia ketika krisis Kosovo pada 1992, membantu etnik Albania, ke Ramallah dan kem pelarian di Jenin beberapa kali, ke Kashmir wilayah yang saban waktu bergolak, lalu kali ini mahu ke Baghdad- selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

Mendengar bicaranya, air mataku luruh bak memanik embun pagi itu.
Ibu sudah merestui. Dan aku juga mahu pergi atas restumu, Khadijah.

Kau mahu pergi kerana ingin mewangikan nama?
Tidak. Aku pergi mewangikan perjuangan. Perjuangan membela nasib saudara seagama. Perjuangan mempertahankan maruah Islam. Kita masing-masing berjuang, Khadijah. Aku berjuang. Mereka berjuang. Kau juga. Cuma cara perjuangan itu sahaja yang berbeza. Aku berjuang dengan ilmuku yang dikurniai Allah, kau berjuang dengan semangat dan ketabahan, mencari kembali nikmat sihat. Mereka berjuang dengan maruah dan nyawa, mencari kembali akar kedamaian.

Diam. Aku kelu untuk menitir kalam. Aku mahu sepasang mata ini sahaja yang berbicara dengannya.

Tapi sebelum aku pergi, aku punya satu hajat yang harus aku tunaikan. Suatu hadiah untukmu, Khadijah.

Hajat? Hadiah? Aku bertanya.
Dia tersenyum dan bicara itu terhenti di situ.

Lalu tidak sampai seminggu aku mencanai kenangan di laman indah nian itu, aku perlu pulang ke hospital. Mataku sudah kekuningan amat. Muntah-muntah dan cirit-birit itu petanda kurang enak. Jua demam yang tidak kunjung kebah. Perlu perhatian segera. Begitu kata Muhammad. Dia risau benar, begitu jua dengan ibu tua itu. Lalu setelah kukucup pipi dan tangan yang sempat kurasai air tangan masakannya, aku pulang ke kota dalam kebasahan air mata. Nanti saya kembali ya ibu! Dan ibu tua itu mengangguk lalu mendakapku perlahan.

Di wad, pemeriksaan rapi ke atasku dijalankan. Aku perlu dibedah segera! Aku bingung. Aku belum punya penderma hati.
Sudah ada. Muhammad berbisik ke cuping telingaku. Aku tambah bingung.

Siapa?
Seorang insan yang mengasihimu dan ingin melihatmu beroleh sejahtera dan hidup dalam nafas keimanan. Lalu dia tersenyum.

Siapa? Aku makin kebingungan. Oh! Aku perlu mengenalinya, Muhammad. Aku perlu mengucapkan terima kasihku padanya.

Dia tidak ingin dikenali. Cukup sekadar dihargai sebahagian hati yang ingin diberinya padamu dan pesannya supaya kau sinari hati itu dengan Nur Al-Quran dan bajainya dengan benih ketaqwaan.

Usai pembedahan, Muhammad tidak pernah menjengukku. Aku bertanya pada Doktor Suraya dan Doktor Afkar juga jururawat-jururawat di situ, tapi jawapan yang kuterima begitu mengelirukan. Aku bingung! Hampa. Muhammad, kau tidak adil! Kau pergi menjejak kota Baghdad tanpa memberitahuku. Lalu dalam bara amarah yang membakar hatiku, aku terasa hatiku sendiri seperti mencemuhku. Ya! Hati yang sudah bersatu dengan hati insan yang tidak kuketahui gerangannya. Jangan pernah menghina Muhammad. Hatiku berbicara. Aku kaget. Lantas aku merasai benang-benang jahitan yang berselirat di dada. Hati siapakah yang sudah bersatu dengan hatiku kini?

Lalu saat aku sudah cukup sembuh untuk meninggalkan wad, aku tidak pernah segan mengunjungi teratak Muhammad dan ibu tuanya. Aku mahu mencari kepastian pada sebuah kepemergian yang tidak diberitakan. Air mataku menitis saat tubuhku mendakap tubuh tua yang sarat wajah kerinduan. Di jalur matanya ada gharisah. Muhamamad ada ibu? Dia tidak menjawab. Namun menjemputku masuk.

Petang itu, dalam silau remang senja, kulihat sepucuk surat daripada celah sebuah buku Biologi milik Muhammad. Beralamatkan ibunya. Aku buka dan meneliti kandungan warkah bersampul papirus itu. Tulisan itu bukan milik Muhammad tapi menceritakan perihal dirinya. Astaghfirullah! Hatiku berdegup kencang. Pantas dan laju. Air mataku menitis. Semakin deras hingga seduku kedengaran. Lalu ibu tua itu kaget metah! Dia mendakapku dan aku basah dalam tangisan serta pelukannya.

Aku menatap wajah ibu tua yang sarat kesayuan itu, menanti dia berkisah padaku. Matanya bengkak. Jelas, dia banyak menangis.
Muhammad masih “hidup” dalam hatimu, Khadijah.
Aku kebingungan.
Hatinya dan hatimu sudah bersatu, anakku.
Aku tambah bingung!

Muhammad adalah penderma hati yang ingin kau kenali itu. Setelah hampir setahun merawatmu, Muhammad tahu bahawa dialah penderma hati yang sesuai untukmu. Lalu telah diberinya hati padamu sebelum dia pergi menjejak Baghdad.

Hatiku berdegup. Semakin kencang dan laju. Terlalu!

Benarkah? Lalu aku merasai degupan hatiku dan aku dengar hati itu berbisik namanya. Muhammad. Muhammad. Muhammad. Yang terpuji.

Lalu aku teringat kata-katanya sebelum aku disorong ke bilik pembedahan. Hati itu diberikan oleh seseorang yang mengasihimu dan ingin melihatmu sejahtera dan hidup dalam nafas keimanan.

Masya Allah! Aku kelu. Ada sebak ada pilu. Ada resah dan buntu. Ada keliru dan takut. Percaturan-Mu Ya Allah sungguh tidak kuduga! Meski kami tidak mungkin ketemu, hati kami sudah menjadi satu. Bercantum dan abadi dalam tubuhku.

Muhammad meninggal dalam suatu letupan bom di Tikrit. Mayatnya hancur. Lalu hanya sebahagian hatinya sahaja yang masih berdenyut dalam tubuhmu, anakku Khadijah.

Aku terkesima. Pernyataan ibu itu menghiris pedih. Terlalu! Kupandang ke langit mencari wajahnya. Dan aku nampak dia. Ya! Muhammad- Dalam pakaian putih murni, di sebuah bustan nan indah, kulihat dia tersenyum. Lalu hati ini terus berdenyut. Ya! Berdenyut menutur namanya- Muhammad.

Sungguh! Hingga detik ini dia masih “bernyawa” dan hidup dalam tubuhku, dalam hatiku. Merah dan suci. Bercantum lalu bersatu dalam tiap detap, dalam tiap denyut menghitung hari dalam nafas keimanan bersama…

Ghafirah Idris
15 Mac 2004
Perlis.

0 comments:

Post a Comment