RINTIH BOSPHORUS

RINTIH BOSPHORUS Oleh Zaid Akhtar

I MELIHAT pasangan lain berjalan berpimpinan tangan di pinggir Selat Bosphorus kala matahari hampir jatuh di horizon, membibit rasa iri yang bukan kepalang di hati saya. Bukan kerana saya masih belum bersuami.

Bukan juga kerana saya belum punya kekasih. Tetapi, kerana saya tiada ‘teman’ yang begitu memahami untuk diajak berbicara seperti masa-masa lalu. Saya berasa benar-benar kehilangan sejak beberapa bulan lalu. Tiada senyum ceria, gurau senda, yang upaya saya ukirkan bila mengenangnya.

Derita kehilangan ini bermula sejak tiga wanita sekeluarga ditahan atas tuduhan yang tidak mampu saya fikirkan logiknya, dan baru-baru ini menemukan khatimahnya yang begitu tragis. Vonnis hakim terlalu kejam untuk kami terima.

Ya, apabila Merve Kavakci terusir dari parlimen seawal majlis persidangan pertamanya - bahana protes terhadap hijab yang dipakainya, saya masih dapat mengawal diri. Namun, apabila Hanan Suleymanoglu, dan dua anak gadisnya Fetima dan Emine menerima padah selepas tragedi Taksim tegal mempertahankan hijab, getaran dalam tubuh saya semakin menjadi-jadi.

Batin saya menjerit tidak percaya ia terjadi di negara ini! Dan Emine, sahabat karib saya, seorang penulis berbakat yang sedang meningkat naik, yang saya temui seminggu sebelum pemergian abadinya, sempat menitipkan catatan peribadi berbentuk semi-biografi hayatnya kepada saya. Beliau, yang dikatakan punya hari depan yang cerah dalam penulisan, turut memohon maaf dan berkirim salam kepada sesiapa jua yang mengenali dirinya. Di sini saya siarkan (dipetik daripada Majalah Ehemmiyet terbaru) sebahagian tulisan terakhir beliau di penjara.

II Bagaimana ya, mahu kumulakan catatan terakhir ini? Sewajarnya pada hari-hari terakhir ini, sementara menanti algojo datang, zikrullah sentiasa basah di bibir. Umi dan Fetima kulihat tidak lekang solat taubat dan istighfar.

Tapi, aku menyedari, menulis juga suatu ibadah jika niatnya betul. Bahkan Sayyid Qutb sempat menulis sebuah syiir beberapa detik sebelum as-syahid digantung pada 30 Ogos 1966. Dan ada hadis Nabi yang berbunyi: Tinta ulama itu akan ditimbang dengan darah syuhada’ di akhirat nanti. Lantas, kuteruskan juga titipan ini. Aku lahir dari usrah yang serba sederhana terdiri daripada abi, umi, Necmi, Hakan, Fetima, dan aku. Abi imam sebuah masjid di pinggir Istanbul.

Umi tenaga pengajar di sebuah pusat tahfiz. Necmi seorang doktor sudah berumahtangga dan menetap di Bursa. Hakan sedang menyambung sarjana di al-Azhar. Fetima pula siswazah perakaunan yang belum dilamar kerja. Dan aku, yang bongsu, pelajar tahun akhir (mungkin bukan lagi berstatus pelajar) jurusan sastera di Universiti Istanbul.

Apalah yang dapat kupaparkan tentang usrah kami selain ceritera pedih dan duka. Sebuah keluarga Kurdis yang punya sejarah perjuangan yang panjang sejarah yang sering diselewengkan faktanya zaman berzaman. Tidak pernah terlintas di nubariku untuk berbangga dengan nasab keturunanku yang kononnya berdarah pejuang, apalagi mendedahkan secara rinci tawarikhnya yang bersimpang siur, sedang diri ini sekadar insan lemah yang kadangkala khauf untuk berjihad.

Justeru, sekadar catatan, cukuplah jika kunyatakan betapa leluhur datuk sebelah abiku, Irfan Sahinoglu syahid dalam pertempuran dengan tentera kerajaan Ataturk sekitar 1925. Datuk - sahabat karib Bediuzzaman Said Nursi musuh nombor satu Kamal Ataturk kala itu. Lalu nenek membesarkan abi dalam kepayahan tangan kirinya yang lumpuh diseksa semasa dalam tahanan.

Sementara di sebelah umi, datuk dan nenekku - Haydar Suleymanoglu dan Huda mati dalam penjara setelah penangkapan beramai-ramai pendokong gerakan Nursi menegakkan semula khilafah yang jatuh diroboh Ataturk. Mereka dituduh Kurdis yang memberontak mahukan kuasa. Umi dibesarkan ibu saudara di Konya sebelum bertemu abi yang juga hafiz al-Quran, mereka menikah dan mengikutnya ke Istanbul. Dipendekkan catatan; timbullah persoalan mengapa kami dihukum? Ya. Itu pertanyaan yang begitu subversif. Maha sensitif. Tapi apalah hukuman yang lebih berat yang mampu mereka jatuhkan ke atasku? Sesungguhnya azab Allah itu lebih pedih ke atas orang-orang fasiq dan munafiq!

Aku bersama ibu dan Fetima di dataran Taksim pagi itu. Kami berkereta dari Istanbul seawal dhuha. Memang kami telah jangkakan demonstrasi akan berlaku, dan semestinya secara aman, bukannya seperti yang digembar-gemburkan media. Ribuan muslimat datang berkumpul membantah penangkapan Husna Dahinoglu wartawan pejuang hijab yang sedang hamil tujuh bulan.

Muslimin juga hadir kerana ia bukan isu mainan, tetapi agama. Seorang demi seorang wakil-wakil pertubuhan Islam dan orang perseorangan tampil memuntahkan ucapan. Suasana masih aman dan terkawal biarpun takbir acapkali bergema menggegarkan kedai-kedai dan pusat-pusat tarian gelek di sekitar dataran. Seorang teman sempat berbisik, inilah Turki kita! Turki yang menjadi medan tempur antara barat dan timur; antara Islam dan jahiliah; antara sekularisme dan ajaran Rasulullah SAW; antara tudung dan parlimen; antara segala-galanya! Pertanyaan: Inikah Turki yang kalian mahu?

Di tangan ketika itu, memang telah kusiapkan puisi terbaru yang dikarang malam sebelumnya. Umi kata, puisi itu terlalu kritis, seeloknya saya deklamasikannya di Taksim. Sejurus ucapan umi, aku lantang meluahkan "Rintih Bosphorus". Ia hampir saja selesai tatkala polis anti-rusuhan mula menembak bom pemedih mata ke arah kami. Suasana mula tidak terkawal. Orang ramai mula bertempiaran dan ada yang merusuh kerana dikasari selain lebih ramai yang lari ketakutan. Pertempuran pun tercetus dan yang tidak bersenjata pastinya menjadi mangsa keganasan. Segalanya berlaku di depan mata.

Sungguh, bukanlah mereka yang memulakannya! Setiap yang berucap hari itu menerima akibat apabila kami ditahan atas tuduhan mencetuskan ketegangan. Dan kami bertiga, tidak akan mendengar suara mersik abi mengimami solat berjamaah di masjid lagi, apalagi bebas berulang-alik dari Eropah ke Asia macam dulu. Keranda barangkali sudah ditempah, lalu kami menanti tiket perjalanan yang abadi. Sekularisme ala-Ataturk yang tertanam dalam jiwa sebahagian rakyat Turki rupanya sudah mengakar kukuh dan dalam.

Tempiasan modenisme Eropah kononnya menjadikan agama candu masyarakat. Beberapa generasi terdahulu sejak runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada 1924 ada yang tidak mengenali al-Quran, jauh sekali mengenakan tudung sebagai pakaian wanita Islam. Lebih malang lagi, tidak semua arif dengan sejarah anti-hijab ini. Pengharaman yang dimulakan Ataturk, kemudian disambung oleh Ismet Inonu, jelas sudah dirangka Barat sejak awal lagi.

Maruah wanita Turki tergadai dilelong oleh pemimpin-pemimpin kita sendiri! Firman Tuhan: "Tidak akan reda Yahudi dan Nasrani terhadap engkau, hatta engkau mengikut agama meraka." Nah, sekarang siapa yang bertepuk tangan melihat ilustrasi memalukan wanita kita berbogel di muka depan akhbar-akhbar harian? Al-Quran sebenarnya telah dipijak-pijak. Suruhannya diperlekeh, dipersenda. Walhal itulah manhaj kita yang paling agung.

Dan firman-Nya lagi dalam Surah An-Nur ayat 31, "dan hendaklah kamu melabuhkan tudungmu hingga ke dadamu." Jelaslah. Hijab itu wajib. Wajib itu taklif. Bukan main-mainan, bukan ikut-ikutan, tetapi itulah ‘fesyen’ khusus untuk muslimah yang telah Allah tetapkan. Fesyen yang akan memelihara dan terus dipelihara! Semakin hayat ini menuju ke klimaksnya, semakin terasa kebenaran tulisan Syeikh Muhammad Ahmad Rashid dalam bukunya Al-Muntola’: "Sunnatullah terhadap semua makhluk terus berjalan, sesaat pun tidak pernah berhenti dan tidak berubah.

Mereka yang merdeka terus berjihad pada jalan Allah, kerana jihad pada kebenaran tidak pernah lenyap biarpun sehari." Pertanyaan: Inikah jalan yang kalian lalu? Intiha’nya, suka aku memetik kata-kata mahal Sayyid Qutb. Jadikan ia renungan sepanjang zaman, lantaran jalan jihad kita masih panjang. "Manusia yang hidup untuk dirinya sendiri, usianya amatlah pendek. Bermula dari hari kelahirannya, dan tamat ketika disapa Sakaratul Maut.

Akan tetapi, bagi yang hidup untuk perjuangan ... usianya panjang - sepanjang perjuangan itu. Bermula dari hari Allah mencipta Adam, berakhir tatkala Dia memusnahkan alam!" Mudah-mudahan malaikat di kiri kananku menghitung tulisanku ini sebagai amalan baik, lantas aku akan menerima buku rekod amalanku dengan tangan kanan. Amin. "Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan beroleh keredhaan-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Al-Fajr : 27-30 )

III Majalah Ehemmiyet edisi Mac terlalu laris malah terpaksa diulangcetak tiga kali. Ketua Editor tidak habis-habis memuji saya, dan seringkali pula tersenyum panjang. Namun detik ria di wajahnya itu tidak panjang apabila media kami diancam akan ditarik permit sekiranya menyiarkan lagi kisah Hanan Suleymanoglu, Fetima, dan Emine, atau yang diklasifikasikan boleh mencetus huru-hara. Sedih sungguh. Demokrasi sebenarnya telah mati. Suara rakyat dibisukan - tanpa membenarkan mereka melaungkan kebenaran. Islam pula ditelan sekularisme yang semacam sudah sebati dalam jiwa muslimin.

Masjid Biru yang gagah cuba menandingi Aya Sofya, dan Top Kapi yang sarat khazanah, rupanya masih belum mampu mengembalikan kegemilangan Islam silam. Saya kekal mengunjungi tebing Selat Bosphorus seperti dahulu. Melihat bot-bot kecil kembali ke Pelabuhan Karakoy di sisi Jambatan Galata, sambil bercakap dengan angin dan laut waktu menjelang senja.

Sebolehnya saya tidak mahu kenangan dan semangat jihad Emine terpadam pupus. Dia mesti hidup terus dalam jiwa saya. Kadang-kadang, kala mengelamun begitu, saya terbayangkan Emine dalam kerudung putihnya, berdiri di atas air seraya tangannya melambai saya. Di telinga, bagai terngiang-ngiang suara muluk Emine membaca puisinya yang tidak sempat habis: Bosphorus Tenggelamkanlah Istanbulmu Agarku bukan lagi Menjadi saksi bisu Pemerkosaan milik suci Tuhanmu….

0 comments:

Post a Comment